Uz Dzulkarnain Hamzah (Astro Oasis): Rahsia Israk Mikraj





Ringkasan Nota Kuliah Maghrib , Isnin, 17 Jun  2013 , 8 Syaaban 1434 Hijrah – Us Dzulkarnain Hamzah (Astro Oasis) di   Surau Nurul Iman , AU3 Keramat

Rahsia Israk Mikraj

Alhamdulillahirobbil 'alamin...........
Bersyukur kepada Allah atas nikmat Iman dan Islam yang dapat kita manfaatkan sebagai makanan kepada roh kita.


Saban tahun kita mengingati peristiwa Israk Mikraj, yang istilahnya diambil  dari perkataan sara dan jaraah. Melalui peristiwa Israk dan Mikrajlah Umat Muhammad dikurniakan ibadah solat. Kalau dicerita secara detail memang tak cukup 4 jam. Secara ringkasnya pada malam ini adalah untuk mengajak kita dengan mata basirah dan hati agar ia dapat meresap ke dalam jiwa. Yang nampak cantik pada mata belum tentu sedap dipakai atau sedap dirasa. Tetapi kalau sudah meresap ke dalam jiwa nampaklah kecantikan dan keenakkannya.


Apakah rasionalnya Rasulullah s a w begitu berani menceritakan pengalamannya dalam Israk Mikraj tersebut kepada Abu Jahal, di saat di mana, baginda pada masa itu dalam musim yang amat tertekan dengan ancaman-ancaman kaum musyrikin. Maknanya inilah dia perkara paling besar pada Rasulullah s a w. Cerita Israk Mikraj ini kalau diceritakan kepada orang, mereka akan lari. Lebih-lebih lagi apabila diceritakan oleh Nabi Muhammad s a w yang pada masa itu adalah orang yang kerdil, miskin dan ditindas kerana menegakkan agama Allah.  Adat orang berkuasa seperti Abu Jahal,  katalah dia apa-apapun cerita maka orang ramai serta pengikutnya tetap akan percaya berbanding perkataan  Rasulullah s a w pada masa itu.

Tetapi baginda Rasulullah s a w amat berani menceritakan pengalamannya ketika mengembara dalam perjalanan Israk Mikraj dengan jasad dan rohnya. Pada masa tersebut adalah masa sebelum hijrah di mana umat Islam belum berkuasa. Nabi kata berkata pada kaumnya " Malam tadi aku diisrak mikrajkan oleh kekuasaan dan kebesaran Allah." Baginda berkata dengan bahasa Allah, bukan perkataannya. Pada masa itu yang ada hanyalah Unta dan Kuda. Kemudian Rasulullah pergi Israk pada waktu Isyak dan kembali ke Mekah pada waktu subuh. Baginda dijalankan oleh kebesaran Allah. Bayangkan, andaikata kita ada di sana pada masa itu...adakah kita termasuk golongan yang percaya atau tidak?

Rahsianya yang pertama  ialah, Allah hendak membuat tapisan dan memilih di peringkat akhir akan orang-orang yang benar-benar tulin keimanannya. Allah tidak mahu orang-orang yang percaya sikit-sikit, percaya ikut-ikut lebih-lebih lagi kepada orang-orang atas pagar untuk menyebarkan agama Islam yang mulia ini. Peristiwa berlaku sebelum Hijrah, di mana pengikut-pengikut Rasulullah belum lagi berhijrah ke Madinah.  Hikmahnya adalah orang-orang yang benar-benar beriman ini setia kepada Rasulullah sedangkan ramai orang-orang yang imannya tidak kukuh lari meninggalkan Rasulullah s a w dan agama Allah.  Sahabat-sahabat yang masih beriman itu dinamakan baiakul yang kedua. (Tapisan  peringkat kedua). Mereka inilah yang membina masjid Quba' daripada tanah. Sebab itu orang-orang yang mengambil wuduk dari rumah dan solat dimasjid Quba' ini teramat besar pahala ganjarannya.

Maka orang-orang yang benar-benar beriman ini jugalah yang berperang bersama-sama Rasulullah s a w dan tertegaknya Islam. Pada masa tersebut musuh Quraisy memberi upah kepada sesiapa yang berjaya membunuh Muhammad s a w dapat upah 100 ekor unta. (Berapa harga 100 ekor unta pada masa sekarang?). Oleh itu tidak hairanlah ketika di dalam peperangan betapa banyaknya libasan-libasan dan hentaman-hentaman yang hinggap di tubuh Rasulullah s a w hingga tanggal baju besinya tidak termasuk luka-luka. 

Sahabat Rasulullah, Saat bin Abi Waqas dan sahabat-sahabat lain hingga berjaya menyebarkan ajaran Islam sampai ke negeri Cina di Wilayah Gunzao hingga ke Asia termasuk Malaysia. Bukti di Batu Bersurat Terengganu adalah menunjukkan ajaran Islam yang disampaikan oleh para sahabat. Sepertiga dunia dikuasai oleh Islam. Inilah hasil dari tapisan kedua Allah melalui peristiwa Israk Mikraj tadi.  Keagungan Islam telah disampaikan oleh para sahabat yang percaya bahawa Rasulullah s a w mengembara dalam Israk Mikraj melalui jasad dan roh sekali, bukan dalam mimpi. Jasadnya masuk ke alam roh tanpa batasan.

Rahsia kedua ialah Allah hendak menanam keyakinan yang mantap pada Rasulullah kerana keyakinannya pada masa itu sedang merudum pada tahap yang paling rendah. Pada masa tersebut, walaupun orang-orang Quraisy segan untuk menyerang Rasulullah lantaran segan dengan bapa saudara baginda, mereka menggunakan cara lain iaitu menyekat makanan yang diperolehi dari Bani Hashyim selama 3 tahun berturut-turut agar Rasulullah s a w tidak dapat aktif dan dapat melumpuhkan kegiatan dakwah Rasulullah s a w . Namun Abdul Mutalib tetap membela Rasulullah.

Di dalam peristiwa Israk Mikraj Allah tunjukkan kuasaNya dengan mempertemukan baginda dengan semua nabi-nabi terdahulu dari nabi Adam , Ibrahim, Musa, Isa Ilyas dan lain-lain. Allah mahu menunjukkan bagaimana pengorbanan dan perjuangan nabi-nabi terdahulu yang sama sahaja kesusahannya untuk menegakkan Islam. Rasulullah di beri keistimewaan merentas ke alam roh bertemu mereka dan bertanya sendiri dengan mereka bagaimana perjuangan mereka. Ini mahu menunjukkan bahawa apa yang Nabi Muhammad buat, sama seperti apa yang mereka buat (Nabi-Nabi terdahulu).

Ketika Baginda pertama-tama kali menunaikan solat, Jibrail telah bertanya " Tahukah kamu solat di mana?". Baginda menjawab tidak tahu lalu Jibrail berkata itulah Baitul Laham di mana di situ adalah tapak berkumpulnya peristiwa-peristiwa penting sejak Nabi Adam hingga ke Nabi Ibrahim, Nabi Musa,   Nabi Zakaria dan Maryam termasuk Nabi Isa. Makna Baitul Laham ialah Rumah Daging di mana disitu tempat daging-daging dikumpulkan. Nabi Zakaria kahwin 114 tahun tidak pernah dapat zuriat sehhingga dapat anak bernama Yahya. Disebabkan hal wanita, Raja telah memburu Zakaria untuk dibunuh. Zakaria telah digeraji di dalam pokok oleh kaumnya sendiri iaitu kaum Yahudi. Anaknya pula dicincang-cincang dagingnya menjadi ketulan-ketulan yang kecil, demi semata-mata untuk menegakkan Islam. Di manakah ia berlaku? Di Baitullaham juga. Maknanya semua Nabi-nabi yang menyebarkan Islam pada masa itu tidak selamat oleh Yahudi. Nabi Isa pun ditangkap di sini, di libas, di salib dan sebagainya. Allah telah menyelamatkan Nabi Isa dengan mengangkatnya ke langit dan yang disalib dan dilibas itu adalah salah seorang Yahudi yang diserupakan seperti Nabi Isa.Ini untuk menceritakan begitu jahatnya Yahudi mengubah kitab Taurat menjadi Talmud. Bacalah dengan mendalam kalimah " Ihdinas siratal mustakim, Siratallazina an 'am ta'alaihim..Ghairil maghdubi'alaihim waladhdhoolliin....."  Maka jangan jadi sesat seperti mereka juga jangan jadi sesat seperti Nasrani yang mengubah Injil menjadi Bible.

Bacalah  dengan hati dan mata hati, bukan baca seperti burung kakak tua. Bacalah dengan perasaan...".Ya Allah hambaMu ini datang padaMu...tuntunlah kami ke mana pun kami pergi..aku tersesat di jalan ini..aku tidak tahu jalan kembali.......tunjuki lah kami jalan yang benar....

Israk Mikraj berlaku pada 27 rejab. Kemudian Nabi solat  di tempat ke empat  yang bernama Toyyibah dimana kemudiannya tempat itu bernama Madinah. Baginda solat ditempat yang akan jadi kerajaannya. Masjid yang diperbuat dari tanah baiah Aqobah adalah tempat kedua Rasulullah solat.

Allah juga menunjukkan kuasanya dengan kematian isteri Nabi dan kematian bapa saudara nabi. Allah perintah Nabi supaya  jangan bersedih kerana ada satu tempat yang amat harum baunya bernama Marsidah di mana seorang wanita yang kematian secara syahid anak dan suaminya namun terus berjuang. Kemudian Allah tunjukkan kuasa dengan menunjukka  berbagai-bagai perkara di dalam peristiwa Israk Mikraj sebanyak 16 perkara. Antaranya kejadian orang memotong gandum kemudian tumbuh semula. Itu tanda bahawa orang yang berzakat akan tumbuh semula hartanya. Peganglah hakikat bahawa orang yang berzakat tidak akan miskin. Kemudian orang yang membongkok memikul beban makin membongkok makin menambah pikulan. Itulah  orang yang tamak dengan kuasa akan menanggung beban tersebut diakhirat. Perkara ini ditunjukkan kepada Nabi 1400 tahun dulu.

Hari ini, kita lihat kepada orang-orang  yang menganjurkan program-program yang melekakan dan merosakkan diri, siapakah yang harus menjawab di akhirat kelak?

Orang yang paling akhir masuk syurga kelak adalah Hakim. Kemudian Perdana Menteri (Pemimpin). Ketiga akhir adalah Kadi.

" Kamulah Muhammad yang melengkapkan agama yang dibawa oleh Adam sampai ke Ilyasa samai ke Isa. Simbolik Baginda mengadap terus tanpa hijab wajah Allah adalah lambang ia seorang rasul dan nabi terakhir. Dan asas amalannya adalah solat. Jangan pandang enteng perkara solat. Kalau dijaga ibadat solat dengan sebaiknya maka ia boleh menjaga amalan-amalan yang lain. Nabi Muhammad mengambil risiko melakukan solat subuh yang pertama dan menghebahkannya pada orang ramai. Maka yang percaya adalah mereka yang telah berjaya dipilih ke tapisan kedua oleh Allah. Mereka yang menghidupkan dan menggerakkan Islam. Maka dalam diri Mukmin harus ada sifat Muraqabah, Muhasabah dan Mujahadah. Bersungguh-sungguh jaga Syariat dan Tauhid. Mengadulah kepada Allah. Kalau mengadu kepada ulama atau ustaz-ustaz, sedangkan mereka pun terlalu banyak masalah. Maka merayu dan mengadulah terus kepada Allah terutama di bulan bulan syaaban. Kenalah  istighfar dan bertaubat terlebih dahulu.

Tidak tertolak do'a seseorang pada malam 15 Sya'aban. Namun akan  tertolak do'a orang-orang yang syirik, orang yang berdosa' kepada ibu bapa (termasuk mertua). Kemudian tertolak juga do'a orang-orang yang memutuskan silaturrahim.

Anak umpama mentimun dengan ibu bapa. Jangan bersengketa dengan orang tua. Imam Ghazali amat teliti tentang taat kepada ibu bapa. Ada 10 perkara yang perlu dijaga untuk menjaga ketaatan kepada Ibu bapa:  Tiga di antaranya ialah, kalau ibu bapa hendak makan apa sahaja wajib kita belikan. Bila berjalan mesti di belakang ibu bapa. Minta izin kalau hendak ke hadapan.

Rasulullah menceritakan bab riba kerana angakara riba' la yang merosakkan umah dan riba' juga yang merosakkan makanan.

Selingan- 

Ustaz balik dari Umrah membawa dua ribu jemaah cuaca amat panas , 52 darjah Celcius hingga 2 orang jemaah meninggal di mana tidak ada kebersihan pada masa itu. Seorang jemaah telah dinasihatkan supaya tidak meminum susu unta yang tidak bersih. Puting susu unta ditutup dengan bra di mana bra itu sudah menjadi hitam lantaran kotornya. Tetapi Pakcik berkenaan lantaran kepanasan dan kehausan telah meminum sehingga 2 mangkuk susu unta, kemudian rebah dan dimasukkan ke hospital terus meninggal. Kemudian Ustaz mendapat pengalaman menguruskan jenazah yang begitu cepat iaitu sepantas 20 minit hingga selesai mengebumikan. Antara pengalaman yang bagus, jika hendak mengiringkan mayat kaki kena dilipat ke atas. Kalau mengiring ke kanan kaki kiri dilipat ke atas dan sebaliknya agar mayat tidak jatuh. Kemudian guna strecer yang boleh ditanggal pasang.  Boleh buat Modul kursus. Petua lain, letak pisau lipat diperut mayat untuk elak kembung angin.



No comments:

Post a Comment