Uz Hanafiah: Pesanan Rasulullah,Taman Syurga, Majlis tanpa ingat Allah, Nasihat Ulama



Kuliah Subuh , Jumaat 1 Feb 2013 Uz Hanafiah – Surau Nurul Iman (20 Rabiul Awal 1434 Hijrah)

Kata Rasulullah s a w , Barangsiapa yang tidak pernah berjumpa aku dan hidup di zaman ku  tetapi beriman denganku maka mereka akan mendapat keuntungan 7 kali ganda.

     Hadis – Mana-mana orang yang menghadiri majlis yang tidak mengingati Allah maka mereka itu seumpama bangkai himar (keldai). Setiap apapun program mestilah ada unsur-unsur mengingati  Allah
Nabi Muhammad s a w telah berdoa 3 do’a kepada Allah
  • Minta supaya jangan mati dibunuh
  • Minta supaya umatnya jangan mati kecuali mati syahid
  • Minta supaya umatnnya tidak lapar

     Pesan 1: Nabi s a w memberi pesan supaya kita sentiasa memberi salam. Walaupun semasa mengangkat telefon lebih baik kita memberi salam untuk membezakan orang yang menelefon adalah Islam atau bukan. Tidak salah jika memberi salam kepada orang bukan Islam kerana mereka juga manusia. Pada suatu hari seorang yahudi telah memberi salam kepada nabi “Assam mualaikum (bermaksud  semoga Allah meracuni kamu). Nabi menjawab ‘Walaika” (semoga kepada kamu juga) maka Aishah menjawab “Walaikummussam.......” (semoga Allah  meracuni kamu,...melaknati kamu ..dan..dan....) maka ditegur oleh Nabi . Nabi berkata "cukuplah sekedar menjawab “Wa alaika”"...yang bermaksud " semoga kepada kamu juga"

     Pesan 2: Nabi menasihati umatnya supaya memperbanyakkan sedekah. Orang yang banyak bersedekah digelar dermawan. Dan orang yang paling dermawan adalah yang menginfaqkan keseluruhan pendapatannya. (Contoh: Dapat pendapatan RM3000 sedekah RM3000) Namun Rasulullah membenarkan para sahabat merbuat demikian mengikut keadaan sahabat2nya. Ada sahabat yang dibenarkan bersedekah keseluruhan pendapatannya dan ada yang dibenarkan bersedekah sebahagian dari pendapatannya.


     Pesan 3: Nabi juga berpesan supaya sentiasa membina silaturrahim. Permulaan silaturrahim terbaik adalah dimulakan dengan berjamaah di masjid-masjid atau disurau-surau. Kemudian boleh diteruskan di persatuan, kelab dsb.

      Pesan 4: Nabi juga berpesan bangunlah solat tahajjud diwaktu malam diketika orang lain sedang tidur. Sesungguhnya di akhirat kelak keadaan manusia yang  berjaya masuk syurga didapati dengan pelbagai-bagai keadaan. ada yang berlari, ada yang secara berjalan, dan ada yang merangkak malah mengisut. Orang yang berjaya mengamalkan 4 perkara (pesan) tesebut di atas maka mereka akan masuk syurga dengan sejahtera.
  • Nasihat ulama – Banyakkanlah berzikir, sama ada secara perlahan atau secara kuat. Tujuan zikir secara kuat adalah untuk mengajar dan  mendidik makmum supaya pandai berzikir. Hadirkanlah diri selalu ke majlis zikir atau ilmu kerana itu adalah taman-taman Allah.

  • Setiap kali habis/selesai  majlis, bacalah zikir Kifarah dan surah Al Asri. Zikir kifarah itu adalah sebagai tebusan dosa sekiranya di dalam majlis tersebut terdapat kata-kata atau tingkahlaku yang terkhilaf. Jika ada orang yang menjemput kemajlisnya di mana orang itu mendapat sumber pendapatan dari yang haram seperti bekerja di kilang arak dsb, maka jangan hadir walaupun sipolan manganjurkan majlis zikir.

  • Berdo’alah selepas setiap kali solat atau semasa sujud solat tahajjud kerana waktu terbaik berdo’a adalah ketika sujud iaitu saat paling hampir dengan Allah. Elok jika dipanjangkan sujud semasa solat tahajjud.

  • Elakkan lah majlis yang tiada unsur-unsur mengingati Allah di dalamnya.Dalam banyak-banyak siaran tv, tontonlah siaran 114 Al Hijrah, Oasis dan yang ada unsur2 mengingati Allah. Contoh siaran radio terbaik adalah IKIM di gelombang 91.5.

  • Amalan bersukaria , melalak terjerit-jerit di dalam majlis-majlis telah diamalkan semenjak zaman jahiliah lagi. Nabi Muhammad s a w semasa kecil belum dilantik menjadi Rasul pernah teringin untuk hadir ke Majlis seumpama itu tetapi telah dihalang oleh Allah dengan mendatangkan rasa mengantuk pada Nabi Muhammad sehingga baginda gagal menghadiri majlis tersebut.

  • Ulama berpesan teruskanlah mengingati Allah walaupun kita lalu atau singgah di tempat-tempat lalai dan tidak mengingati Allah. Contoh tempat-tempat yang tidak mengingati Allah adalah di pasar-pasar malam, pasar ,pasaraya dsb kerana disitu berlaku pembaziran, sentuhan-sentuhan, pendedahan aurat dan sebagainya. Ingatilah Allah walau di mana sahaja kita berada.

  • Jika orang yang hidup membaca alQur’an di hadapan orang mati, simati tetap dapat mendengar bacaan Al Qur’an tersebut, bahkan tapak kaki orang yang pulang dari pengkebumiannya pun boleh didengar oleh simati.

  • Dalam sejarah tamadun, Islam akan bangkit bila tibanya zaman kejatuhan dan kehancuran Yahudi. Melalui fenomena terkini, Kerajaan Mesir sudah mula membuka pintu masuk kepada orang-orang luar untuk melawat dan membawa bekalan-bekalan makanan dan ubatan ke Palestin semenjak kubu Yahudi berjaya diletupkan oleh Pejuang Hamas Palestin, dan itu ada tanda-tanda positif Islam akan bangkit. Mudah-mudahan. 





Kuliah Subuh , Isnin, 28 Januari  2013 Uz Hanafiah – Surau Nurul Iman AU3 Jln 15/56 (16 Rabiul Awal 1434 Hijrah)



  •            Di dalam surah Al Imran ayat 31 & 32 , Allah telah memerintah Nabi Muhammad s a w supaya menyeru seluruh manusia, tidak kira sama ada mereka itu Yahudi, Nasara, atau  mereka itu kafir, jahil, munafik atau beriman “ sekiranya kamu beriman kepada Allah , maka ikutlah aku”. Ini kerana semua agama akan mengangkat Allah sebagai Tuhan mereka. Tetapi yang menyebabkan mereka kafir adalah kerana tidak beriman dengan Muhammad Rasulullah s a w . Kalau ditanya orang –orang Yahudi dan Nasrani siapakah yang menciptakan langit dan bumi maka mereka akan menjawab “Allah”. Jadi punca kenapa mereka kafir adalah kerana mereka tidak mengikut ajaran Muhammad s a  w. Ulama tafsir berkata makna beriman dengan Muhammad Rasulullah adalah mengikut ajaran dan sunnah Rasulullah s a w . Maka barangsiapa mengikut ajaran dan sunnah Rasulullah Allah bagi jaminan akan kasih dan ampunkan setiap dosa-dosa kita setiap hari. Maka taatlah kepada Allah dan Rasul. Maka orang yang berpaling dari Allaah dan Rasul adalah kafir.
  •           Pada suatu hari selepas subuh, Nabi melihat kepada wajah para sahabat seorang demi seorang. Bila Rasulullah memandang Saubar wajahnya berlainan lalu bertanya kepada Saubar: “ Mengapa dengan mu, adakah kamu tidak sihat?”, Jawab Saubar ‘ Malam tadi aku tidak dapat tidur kerana terfikir bahawa aku adalah sahabat dan khadam kamu yang bersama-sama kamu mulai subuh hingga ke Isyak. Aku jihad dan berdakwah bersama-sama kau. Tetapi selepas Isyak kita akan berpisah bila kita kembali kerumah masing2. Bagaimana nanti di akhirat. Tentulah lebih jauh kita terpisah kerana engkau akan ditingkat syurga yang lebih tinggi dariku. Begitulah tanda cintanya Saubar kepada nabi. Nabi terdiam dan berfikir. Tiba-tiba turun ayat 69 surah An Nisa : “Barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul, maka mereka akan dapat nikmat sebagaimana orang-orang yang dapat nikmat dari Allah iaitu para nabi dan rasul( termasuklah Rasulullah)” Kemudian nabi pun menghuraikan ayat tersebut kepada sahabat dengan bersabda “ Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku dan ajaranku maka golongan ini adalah yang cintakan aku dan aku akan masuk syurga bersama-sama kamu. Orang-orang yang taat kepada rasul walaupun Nabi tidak pernah melihat mereka dan mereka tidak pernah melihat nabi  dan hidup dizaman nabi, di akhirat nanti nabi akan kenal umatnya yang mengikut sunnahnya dan akan nabi ajak memasuki syurga bersama-sama.
  •            Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmidzi r a. 1. “ Aku adalah kekasih Allah . Bukan aku hendak sombong. 2. Aku nanti di akhirat akan membawa panji-panji/bendera kepujian. Dibawah aku adalah Nabi Adam dan nabi-nabi yang lain selepasnya. 3- Akulah yang pertama-tama memberi syafaat yang diterima Allah, kemudian diikuti oleh nabi-nabi lain memberi syafaat kepada umat masing-masing. Maka rugilah umat Muhammad yang tidak mendapat syafaat. Abu Hurairah bertanya “ di akhirat nanti, dimanakah kedudukan Nabi Muhammad?”. Jawab Muhammad” Carilah aku di sisi Almizan (neraca), titian Siratul Mustaqim atau di telaga Kautsar. Aku berada di salah satu tempat-tempat ini untuk memberi syafaat kepada umatku. Namun ada dikalangan umatku yang tidak mendapat syafaatku. Yang tidak mendapat syafaatku termasuklah orang-orang yang membantu kezaliman, tidak mahu amal maaruf nahi Munkar iaitu yang tidak mahu berdakwah.”. Maka kesimpulannya untuk mendapat syafaat Nabi Muhammad s a w ikutilah keseluruhan ajarannya.
  •            Sabda Rasulullah s a w : ‘ Akulah orang yang pertama-tama mengetuk  pintu syurga dan menggerakkan pintu syurga. Orang yang pertama-tama dibukakan kunci pintu syurga. Apabila aku mengetuk pintu syurga, Malaikat Ridwan akan bertanya :siapa itu?”. Jawab ku “Muhammad”. Ridwan berkata “ Aku diperintahkan supaya jangan membuka pintu syurga selagi Muhammad belum masuk. “ Orang yang pertama-tama masuk syurga bersama-sama nabi adalah fakir miskin termasuk fukara mukminin iaitu orang yang merendahkan diri taat perintah Allah dan Rasul walaupun mereka itu hartawan.
  •            Kata Rasulullah s a w “ Akulah yang paling mulia dikalangan manusia. Bukan aku hendak sombong. “ Manusia dan Jin harus sedar bahawa tujuan Allah menjadikan alam ini adalah semata-mata kerana Muhammad kekasih Allah. Para pembesar dahulu  berkata “ Aku tidak pernah melihat manusia taat kepada pemimpin sebagaimana taat setianya para sahabat pada Rasulullah s a w .
  •            Kata Ulama , 5 sunah terbesar ialah:    1. Syukur,    2. jaga makan minum,      3. Kita tinggalkan perkara yang tidak mendatangkan faedah,    4. Tidak mengabaikan golonga jaihl,    5. Jihad fi sabillillah.

Rasulullah s a w bersabda: Barangsiapa yang fanatik dengan kebangsaan, dan memperjuangkan kebangsaan, maka bukan di kalangan umatku. Mereka yang mati di dalam keadaan semangat kebangsaan bukanlah di kalangan umatku” “siapa yang zalim bukan dikalangan umatku” 23 tahun Nabi s a w berjuang untuk redakan semangat kebangsaan yang cukup kuat dikalangan penduduk Arab. Bangsa Arab dimuliakan kerana Islam. Di hari ini bangsa apakah yang banyak buat jenayah, banyak buat maksiat dan buat jahat di Malaysia?

Uz Hanafiah: Mengapa Lukman Di abadikan Di Dalam Al’Qur’an? Pesan Luqman, Persoalan Semasa

Kuliah Subuh , 6 Januari 2013 Uz Hanafiah Bank Rakyat – Surau Nurul Iman AU3 Jln 15/56 (23 Safar 1434 Hijrah)

Orang-orang yang hebat di dalam  Islam, namanya akan diabadikan di dalam Al Qur’an. Contohnya surah Luqman  adalah sempena kisah Luqman Nur Hakim.

Surah Lukman :

Ayat 12 - “ Sesungguhnya kami telah memberikan Lukman hikmah, iaitu bersyukur kepada Allah. Dan siapa yang bersyukur kepada Allah sesungguhnya dia bersyukur kepada dirinya sendiri. Dan siapa yang kafir (tidak bersyukur), sesungguhnya Allah maha kaya lagi Maha terpuji.”

Ayat 13 – Dan ingatlah ketika Lukman berpetuah kepada anaknya. ‘Hai anakku! Janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah kezaliman yang besar.”

Ayat 16 – (Lukman berpetuah). “ Hai anakku! Sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) walaupun sebesar biji sawi (atom) tersembunyi di dalam batu (gua), di ruang angkasa atau bumi, niscaya akan diperhitungkan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Ayat di atas merupakan 3 daripada 34 ayat di dalam Surah Lukman yang merupakan surah ke 31 daripada 114 surah dalam Al Qur’an.

Persoalannya siapakah Lukman sehingga namanya disebut dan diabadikan oleh Allah di dalam Al Qur’an? Beliau membawa pengajaran yang banyak di dalam mendidik anak-anak. Sebahagian ulama berpendapat beliau merupakan seorang nabi dan bukan Rasul. Tetapi sebahagian besar ulama berpendapat dia bukan juga seorang nabi tetapi seorang manusia yang soleh. Percanggahan pendapat yang sama juga berlaku kepada Khidir dan Danial.

Ada pula  yang berkata Lukman itu adalah seorang tukang  jahit. Ada pendapat mengatakan beliau adalah pengembala kambing. Sabda Rasulullah s a w “ Lukman itu adalah seorang hamba yang bertafakur dan elok sangka serta banyak diam.”

Lukman adalah seorang yang bijaksana, anak kepada Bahura dan ia ada pertalian dengan Nabi Ibrahim. Ada pendapat mengatakan beliau anak saudara sebelah nabi Ayub. Dia terlebih dahulu memberi fatwa daripada Nabi Ayub. Dia pada asalnya adalah guru kepada nabi Daud.  Ada setengah pendapat mengatakan Lukman ini seorang nabi dan ada juga yang mengatakan beliau adalah wali Allah. Beliau adalah berasal dari keturunan hamba kaum Habshi yang mahir bertukang kayu. Sabda Nabi s a w , “ Jadikanlah oleh kamu seorang sahabat dari kalangan kulit hitam kerana ada yang jadi penghulu syurga.” Dengan memaksudkan  kepada Lukman Hakim.

Lukman merupakan anak saudara kepada Nabi Ibrahim. Beliau seorang hamba yang kerjanya menjual kitab. Pada suatu masa beliau hendak dijual oleh tuannya. Apabila datang seorang pembeli hendak membelinya, beliau bertanya kepada pembeli tersebut kenapa hendak membelinya. Jawab pembeli dia memiliki ladang yang luas dan nak guna Lukman untuk mengerjakan Ladangnya. Lukman berbisik kepada pembeli itu “tidak guna kamu beli aku sebab aku memang tidak suka dan tidak akan buat kerja ladang dan kamu akan rugi membeli aku. Maka pembeli terfikir kebenaran kata2 lukman dan tidak jadi membeli Lukman.
Kemudian, datang lagi seorang pembeli untuk membeli Lukman bagi tujuan memecahkan batu dan Lukman pun berbisik perkara yang sama iaitu dia tidak akan dan tidak buat kerja- kerja memecah batu.

Begitulah seterusnya yang berlaku kepada pembeli-pembeli hamba yang lain sehingga tiba kepada pembeli hamba yang terakhir. Apabila Lukman bertanya untuk apa dia hendak dibeli , Pembeli menjawab untuk jadikan Lukman sebagai penjaga rumah. Tugas Lukman apabila tuannya keluar rumah, dia kunci pintu rumah. Apabila tuannya pulang dia buka pintu rumah. Lukman berkata “ Ya aku setuju dan boleh buat kerja tersebut dan kamu akan beruntung membeli aku. Lalu Lukman dibawa balik oleh tuan yang baru.

Adapun tuannya itu menghadapi masalah besar yang tidak dapat diselesaikan olehnya dan beliau telah putus asa. Masalahnya ialah dia memiliki 3 orang anak gadis. Apabila beliau keluar rumah maka anak gadisnya pun akan keluar juga tetapi menjadi pelacur murahan / GRO untuk tujuan suka-suka mereka sahaja.

Hari pertama tuannya keluar rumah, maka anak-anak gadisnya mula bersiap-siap dengan wangi-wangian dan pakaian yang menggairahkan dan beraksi (catwalk) di hadapan Lukman dan meminta pendapat tentang kecantikan mereka . Lukman tidak termakan oleh godaan mereka dan menjawab Allah yang menciptakan mereka lebih Maha Cantik dan Maha Indah. Apabila Lukman tidak mahu membuka kunci pintu rumah dan melepaskan mereka keluar rumah, maka mereka marah dan memukul-mukul Lukman sehingga bengkak-bengkak dan luka berdarah. Kemudian anak-anak gadis tuannya masuk semula ke dalam bilik mereka. Apabila tuannya pulang didapatinya anak-anak gadisnya masih berada di rumah dan Lukman telah mencuci dan merawat luka2 di badannya. Lukman telah menjalankan tugasnya dengan baik dan amanah.

Perkara yang sama berulang-ulang ke hari-hari seterusnya, sehingga sampai satu ketika anak gadis tuannya yang sulung terfikir dalam hati “ sedangkan Lukman seorang hamba boleh memegang amanah ayahnya untuk menjaga mereka tanpa menghiraukan keselamatan dirinya. Mengapa tidak dirinya manusia yang merdeka dan mewah untuk memegang amanah menjaga diri dan adik-adiknya?. Alhirnya Kakak yang sulung itu insaf. Lama-kelamaan Adik yang lagi seorang juga turut insaf, akhir sekali ketiga-tiga anak-anak tuannya telah berubah menjadi baik.

Persoalan telah timbul kepada pemilik pusat hiburan yang selalu dikunjungi oleh gadis2 tersebut, kenapa gadis2 tersebut telah lama tidak berkunjung ke tempat itu seperti biasa. Apabila disiasat mereka mengetahui bahawa gadis2 tersebut telah insaf. Masa berlalu akhirnya keinsafan ini berlaku juga kepada semua orang di pusat hiburan/maksiat tersebut. Akhir sekali.. lama kelamaan, di atas sifat mulia dan amanah Lukman, Keinsafan telah merebak ke kampung, ke pekan dan seluruh negeri tersebut. Diberitakan bahawa Lukman mencecah usia seribu (1000) tahun.

Untuk jadi wali kenalah sedikit cakap dan sedikit makan serta sedikit tidur. Banyak berfikir dan kasihkan Allah.

Allah telah beri Lukman hikmah . Antara pesan Lukman kepada anaknya: -
Hai anakkum sesungguhnya  sesuatu yang baik itu sempurna jika disegerakan. Asal kalimah fitnah itu adalah godaan dan hasutan. Jangan biarkan jenazah lebih dari 2 waktu solat. Elok dikebumikan di tempat simati meninggal. (Rasulullah lahir di Mekah dan wafat di madinah. Baginda disemadikan di Madinah).

Segerakan lah mengahwini anak perempuan kalau telah ada calon yang sesuai. Kemudian segeralah bayar hutang. Roh mukmin tergantung sehingga dia selesai membayar hutang walaupun ia mati syahid. Tidak digalakkan berhutang di dalam Islam.
Nota- tidak boleh berwasiat kecuali sepertiga dari harta kita. Yang selebihnya wajib diagih secara faraid.

Kemudian segeralah sediakan makanan dan hidangan kepada tetamu. Seribu  berkat dan seribu rahmat mengiringi tetamu yang datang. Layan tetamu sehingga 3 hari. Iringi kepulangan tetamu. Bercakap-cakap lah dengan tetamu. Adab bercakap dengan bukan muhrim , pandang telinga. Tutuplah aurat di hadapan tetamu. Pastikan rumah bersih untuk tetamu. Kemudian  segerakanlah taubatlah jika telah melakukan dosa. Kemudian segerakanlah solat. Minta lah izin kepada ibu bapa walaupun untuk pergi berjihad. Berbakti kepada ibu bapa juga adalah jihad di jalan Allah.

Sabda Rasulullah, Orang yang muazin akan jadi penghulu di dalam syurga.

Najasyi merupakan seorang raja Habshi yang adil  yang melindungi Jaafar, Ketua rombongan Rasulullah sebelum hijrah.
  • Didalam sepanjang tempoh sistem penyiaran di Malaysia, TV 1 berkonsep lain dari yang lain iaitu apabila tiba masuk waktu solat, maka rancangan akan berhenti sejenak dan menyiarkan siaran azan. Siaran azan tidak putus-putus keudara setiap kali tiba waktu solat. Ramai yang suka dan terdapat juga yang tidak gemar bukan sahaja orang bukan Islam tetapi ada juga Penganut Islam sendiri yang tidak gemar. Ada juga pengganut bukan Islam yang terfikir akan makna-makna sebutan di dalam azan tersebut. “ aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah”.. Maka ada yang tertanya-tanya terutama anak-anak sekolah “ Habis kalau tiada Tuhan lain selain Allah, mana Tuhan Kami?...Jawapannya jelas , Jika Tiada Tuhan selain Allah maka maknaya Tuhan lain tidak ada. Nama Allah adalah hak eksklusif Orang-orang Islam. Namun Sejak zaman nabi-nabi terdahulu tidak ada ayat yang mengatakan bahawa agama lain tidak boleh menyebut nama Allah. Berapa ramai malah berapa juta, bilion umat-umat sejak zaman nabi Adam yang menyebut nama Allah tetapi tidak beriman dengan Allah, termasuklah orang-orang munafik yang berpura-pura Islam, yang mengambil sebahagian ajaran AlQur’an tetapi menolak yang lain. Ramai juga berpendapat dengan memberi kebenaran agama lain menggunakan nama Allah akan lebih memudahkan berdakwah kepada Islam. Sejak dahulu kala sebelum Muhammad (pembawa Al Qur’an), terdapat 3 sahaja agama samawi yang diiktiraf oleh Allah dan menggunakan nama Allah di dalam kitab, Iaitu Taurat, Zabur dan Injil tetapi semua kitab-kitab tersebut telah diselewengkan. Dalam Agama Kristian ada guna nama Allah tetapi menyatakan Isa itu anak Allah, sedangkan di dalam Islam (Al’Qur’an) Isa itu adalah pesuruh Allah , seorang Rasul yang membawa kitab Injil , dan Isa adalah hamba Allah, anak kepada Mariaym dimana dengan kuasa Allah Mariam melahirkan Isa tanpa bapa sebagaimana Allah berkuasa menjadikan Adam tanpa Ibu dan bapa dan menjadikan Hawa juga tanpa Ibu dan bapa. (Nota Penulis: Dewasa ini Isu yang lebih bahaya ialah ancaman Fahaman Syiah kepada Umat Islam Ahli sunnah Wal Jamaah/Sunni - Sila Rujuk Tajuk berkaitan. Isu Kalimah Allah adalah tanggungjawab ulama dan pemimpin semasa  yang memerintah negara/ Kerajaan Pusat.)

  • Ada persoalan kenapa wanita yang datang haid (period) dan nifas tidak dibenarkan solat tetapi wanita yang mengandung diperintahkan solat sedangkan wanita yang mengandung itu membawa beban yang berat di dalam perutnya. Sains kedoktoran telah membuktikan bahawa apabila wanita haid dan nifas melakukan solat dan bersujud maka kandungan darah yang kotor dalam badan akan bercampur dengan darah bersih dan keseleruhan darah tubuh badan akan dialiri darah yang kotor dan boleh membawa maut. Apabila wanita mengandung solat dan sujud darah dalam badan akan dipam ke dalam janin dan memberi kesihatan yang baik kepada janin. Darah bersih di dalam badan kita hanya 1 liter berbanding darah kotor. Apabila kita solat darah bersih sebanyak 1 liter akan bertambah menjadi 6 liter.

  • Ada seorang warga Amerika di Malaysia yang masuk Islam telah masuk ke dalam majlis diskusi kelumpuk-kelumpuk bijak pandai orang Yahudi. Sebelum Islam beliau telah memahami dan mengkaji keseluruhan Kandungan Al Qur’an. Dan bertanya kepada bijak pandai Islam, Sudahkah kamu mengkaji dan memahami Al’Qur’an. Sebahagian besarnya tidak faham akan Al Qur’an. Rasululllah s.a.w. telah menyindir umat Islam yang membaca Al’Quran tanpa mengetahui tafsir dan makna Al Qur’an sama seperti keldai. Keldai lebih bodoh dari lembu, ia mampu membawa berpuluh puluh kitab sekali jalan tetapi tidak tahu membaca dan apa makna kandungan kitab-kitab tersebut.

Dalam 5 waktu solat, ada 1 waktu solat berjemaah yang utama yang Allah dan Rasullullah betul-betul mengambil kira untuk menentukan penilaian keimanan iaitu solat subuh. Solat yang mula-mula disebut pula ialah solat Zohor, kemudian asar, kemudian maghrib, Isyak dan subuh. Tidak ada gunanya berqiamullail di tengah-tengah malam tetapi tertinggal solat subuh. Barangsiapa solat Isyak secara berjamah akan dapat pahala separuh Qiamullail (berjaga sepanjang malam untuk beribadat). Barangsiapa solat subuh berjamaah akan dapat pahala sama seperti melakukan qiamullail sepanjang malam. Rasulullah s a w berpesan solatlah Isyak dan subuh secara berjamaah. Barangsiapa tidak solat subuh berjamaah maka imannya lemah. Dia seorang yang lemah iman.


No comments:

Post a Comment